“Ustaz, apakah doa yang ustaz baca apabila rasa tersangat lapar sepanjang program diet ini?” tanya doktor kepada saya.
Termenung seketika.
Alhamdulillah sepanjang empat bulan saya mengusahakan perubahan diri, saya tidak pernah menjadi terlalu lapar.
Namun sesekali, memang terasa rindu pengalaman mengunyah nasi, biar pun rasa nasi sudah tidak sesedap dulu.
Tetapi apabila dikenang, memang benar. Perubahan fizikal juga berdepan dengan tuntutan istiqamah. Seperti yang saya sebutkan di dalam Seminar Transformasi Ramadan baru-baru ini, bahawa Taqwa memberi kesan kepada keseluruhan aspek hidup kita.
- Kesan Taqwa ke atas fizikal
- Kesan Taqwa ke atas intelektual
- Kesan Taqwa ke atas emosional
- Kesan Taqwa ke atas spiritual
Kekuatan spiritual adalah kekuatan paling besar dan paling diperlukan untuk mengukuhkan azam melakukan perubahan.
Teringat kenangan semasa menaiki pesawat Emirates ke Dubai beberapa bulan yang lalu. Pesawat yang kosong, memberi ruang kepada saya untuk ‘menyendiri’ di sepanjang perjalanan. Dua kerusi di kiri dan kanan kosong. Tatkala hidangan makan malam dihidang, saya diuji dengan Nasi Briyani ayam, kek span cokelat dan pelbagai makanan, semasa saya memang kelaparan. Ketika itu, boleh sahaja saya makan. Apalah sangat ‘tipu sehari’, esok kembalilah ke diet. Lagi pun bukan ada sesiapa yang nampak. Tiada siapa yang kenal saya.
Ketika itu fizikal kita menyuruh makan. Intelektual memproses ilmu untuk mencipta alasan mengharuskan. Emosional membuak menyuruh makan. Yang tinggal hanya spiritual. Kerohanian diri yang memberitahu, perubahan yang kulakukan bukan untuk sesiapa melainkan untuk diri sendiri. Hormatilah pandangan diri terhadap diri sendiri. Dan kehormatan itu benar-benar menjadi sesuatu yang kukuh, apabila Allah kita sedari bahawa Dia menjadi saksi.
Bukan hanya Allah sebagai saksi, malah Allah yang Maha Pengasih itu memberikan kepada diri ini tubuh badan yang sejahtera, bukankah menjaga dan memeliharanya adalah manifestasi SYUKUR yang besar.
Keresahan malam itu terubat dengan sepotong doa yang saya ulang-ulang sepanjang masa:
“Wahai
Tuhan kami! Janganlah Engkau pesongkan hati kami sesudah Engkau beri
petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari
sisi-Mu; Sesungguhnya Engkau jualah Tuhan yang melimpah-limpah
pemberian-Nya.” [Aal ‘Imraan 3: 8]
Rahmat Allah itulah limpahan tenang di dalam hati.
Mintalah ia setiap hari, daripada Tuhan yang Maha Memberi.
Perubahan ini tiada jalan pulang.
Di persimpangan antara hidup dan mati,
pilihlah banyak jalan yang membawa kepada kehidupan, agar tinggi harga
sebuah kematian, suatu hari nanti.
Sumber: http://saifulislam.com
No comments:
Post a Comment